Home » » Indahnya Hukum Hudud!!!

Indahnya Hukum Hudud!!!

Written By berita gempak terkini on Tuesday, 24 March 2015 | 08:24



Hudud merupakan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T untuk mendidik dan sebagai peringatan kepada hamba-hamba-Nya. Isu untuk menjalankan hukum Allah di Malaysia ini sudah timbul sekian lama namun masih lagi menjadi perbincangan dalam kalangan pemimpin. Seperti yang kita sudah sedia maklum, kerajaan Negeri Kelantan telah pun menyetujui untuk menjalankan hukuman hudud di negeri tersebut. Menurut pendapat yang dilontarkan oleh Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) iaitu Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, Undang-undang hudud bukan untuk membebankan tetapi ia berupaya memperbaiki keadaan sosial masyarakat.




Katanya lagi, undang-undang hudud tidak harus dilihat dari segi hukuman berat semata-mata, sebaliknya ia perlu dinilai sebagai satu daripada cara untuk melahirkan masyarakat berdisiplin.
“Mereka yang takut kepada pelaksanaan undang-undang hudud disebabkan mereka hanya fokus kepada hukuman berat sahaja seperti hukum rejam, potong tangan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Beliau mengulas mengenai keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

Semua 44 ahli dewan termasuk 31 ADUN PAS, semua 12 ADUN Barisan Nasional dan seorang daripada PKR menyokong pindaan rang undang-undang itu yang dibentangkan kerajaan negeri pimpinan PAS melalui Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Mahmood Zuhdi berkata, menurut Islam, masyarakat boleh dididik melalui dua perkara, iaitu memberi galakan, dan ancaman hukuman yang berat supaya mereka ‘takut’ untuk melakukan kesalahan.

“Sebagai contoh kesalahan mencuri, jika hanya seorang atau dua orang dipotong tangannya ia akan membuatkan masyarakat takut untuk mencuri, tidakkah ini membawa kebaikan dan keindahan daripada kita memenjarakan 600 orang. Kedua-duanya adalah hukuman tetapi perbezaannya mana satu yang boleh melahirkan kesan yang mendalam kepada masyarakat,” katanya.

Namun Mahmood Zuhdi menegaskan bahawa undang-undang hudud hanyalah sebagai kaedah tambahan untuk mendisiplinkan masyarakat setelah institusi sosial seperti ibu bapa, dan institusi pendidikan telah memainkan peranan membentuk karektor dan sahsiah seseorang.




Oleh itu, tegas beliau, undang-undang hudud tidak perlu ditakuti kerana ia perlu melalui proses penghakiman yang kompleks sebelum hukuman dijatuhi.

Katanya, terdapat beberapa kriteria utama yang diambil kira sebelum seseorang itu dijatuhi hukuman hudud atas kesalahan yang dilakukan.

“Sebelum menjatuhi undang-undang hudud, antara yang perlu diambil kira adalah cara didikan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, kawasan kejiranan, peranan para ulama, tempat beribadat dan institusi pendidikan perlu menjalankan fungsinya dengan betul mengikut ajaran Islam, barulah hukum itu terlaksana.

“Contohnya, sekiranya seseorang yang dituduh mencuri sedangkan dia dibesarkan dalam keluarga yang tidak bermoral maka undang-undang hudud tidak boleh dijatuhi ke atasnya,” katanya.

Ditanya mengenai sikap sesetengah orang Islam sendiri yang menolak undang-undang hudud, Dr Mahmood Zuhdi berkata golongan ini tidak harus dipersalahkan kerana pihak yang menolak undang-undang itu mempunyai kefahaman yang salah.

Maka, katanya, pendidikan dan penyebaran ilmu mengenai undang-undang ini perlu diperluaskan.
Mahmood Zuhdi turut menyarankan supaya pihak yang terlibat memperbaiki kehidupan masyarakat sebelum memperkenalkan undang-undang hudud.

“Pihak yang melaksanakan hukuman ini perlu memastikan kesejahteraan hidup masyarakat seperti tiada kemiskinan, tiada unsur-unsur lucah di kaca televisyen dan sebagainya yang perlu seiringan dengan pelaksanaan hukum tersebut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang, menyifatkan pelaksanaan hukum hudud sebagai langkah pencegahan untuk seseorang itu daripada melakukan kesalahan.
Katanya, sebagai bukti, pelaksanaan hukum hudud di zaman Rasullah S.A.W yang berjaya mengelakkan kesalahan seperti berzina, merompak dan minum arak berlaku.

“Dalam hukum hudud, ‘beban’ membuktikan sesuatu kesalahan adalah terlalu ketat dan sukar, jadi untuk membuktikan sesuatu yang sukar maka hukuman itu bukan bertujuan menghukum tetapi untuk mencegah orang daripada melakukannya, kerana bila masyarakat tengok hukuman itu berat mereka akan takut untuk melakukan kesalahan,” katanya.

Musa turut menambah pelbagai aspek dalam pelaksanaan hukum hudud yang perlu diambil kira seperti kewibawaan saksi, tatacara menentukan kesalahan, dan pihak mahkamah yang perlu arif dengan undang-undang hudud bagi mengelakkan undang-undang Islam itu dipandang serong.
Ibn Mas’ud meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tidak halal darah seseorang muslim melainkan kerana salah satu dari tiga perkara: Kafir sesudah beriman (murtad), berzina sesudah ihshan (muhshan* yang berzina) dan membunuh jiwa seseorang.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sumber dipetik daripada BERNAMA.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Gempak Terkini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger