Home » » Terengganu Bakal Kehilangan Effa Owona

Terengganu Bakal Kehilangan Effa Owona

Written By Anonymous on Sunday 8 December 2013 | 10:30



Bagaikan sireh pulang ke gagang, akhirnya penyerang kelahiran Cameroon berusia 29 tahun, Jean Emmanuel Effa Owona dikhabarkan akan kembali menyarung jersi Skuad Rusa pada musim depan.

Sinar Harian difahamkan, pemain tinggi lampai berkenaan membuat keputusan meneruskan karier bola sepaknya di Negeri Sembilan selepas kontraknya bersama pasukan Terengganu tidak diperbaharui.

Seandainya sahih perkhabaran tersebut, Effa Owona hampir pasti digandingkan bersama seorang lagi penyerang import, Jozef Kaplan di bahagian hadapan dalam kancah Liga Premier kelak.

Prestasi semasa

Mengimbas kembali musim ini, prestasi Effa Owona tampak kurang menyerlah bersama Skuad Penyu. Walaupun berjaya menjaringkan 14 gol daripada 32 penampilan, dia masih gagal menghadirkan sebarang trofi untuk Terengganu.

Satu-satunya piala dimenangi sepanjang beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) adalah bersama Skuad Jang pada 2012, apabila dua gol jaringannya terhadap Kelantan membolehkan Negeri Sembilan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang kali terakhir dimenangi pada 1985.

Kecederaan berpanjangan dan ketiadaan pasangan sesuai pada jentera serangan dikenal pasti sebagai punca utama kemerosotan Effa Owona semasa menyarung jersi pasukan dari Pantai Timur itu.

Harapan peminat

Mengulas perkhabaran terbaharu ini, Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun nyata mempunyai pandangan tersendiri.

“Ketajaman penyudah Effa Owona sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Kalau tidak, masakan dia boleh dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super dua tahun lalu bersama Francis Forkey Doe.

“Kita harap, ada pembaharuan pada corak permainan Effa Owona kali ini. Sedikit sebanyak, pengalaman beraksi di Liga-M selama dua tahun pasti akan mematangkannya,” katanya.  

Beliau bagaimanapun berkata, di sebalik kelebihan dimiliki, Effa Owona mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian serius oleh jurulatih baru Skuad Jang, V Sundramoorthy.

“Sikap tamaknya di depan gol mesti diubah. Rugi jika dibiarkan kerana pemain ini mempunyai kawalan bola yang baik, selain berkeupayaan mencipta peluang jaringan untuk rakan sepasukan.

“Memandangkan Effa Owona tidak memiliki larian pantas dan sering terperangkap offside apabila bermain sebagai penyerang tunggal kerana lambat turun ke bawah, kita merasakan lebih sesuai jika pemain ini diletakkan di posisi back-up striker bagi membantu Jozef Kaplan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Gempak Terkini - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger